Wednesday, May 9, 2012

Seindah Semalam M/S:04 0442pm 29042012

   MUKASURAT EMPAT


    Nasib baik tak ramai makhluk yang menunggu bas hari ni. Kalau tak,mahu aku berhimpit dengan asoh, aci dan makcik-makcik yang nak menyibukkan diri ke Pasar Pudu. Untuk pengetahuan semua, itulah aktiviti 'sukan' yang amat di gemari oleh golongan pertengahan umur di kawasan Cheras Batu 3.5 ini.

    Nak kata Pasar Pudu sama seperti shopping kompleks Sg.Wang tak juga. Tapi di situlah tempat yang sering menjadi tumpuan masyarakat pelbagai peringkat umur dan keturunan untuk membeli dan kemudian belah dengan harga yang sangat berpatutan siap boleh tawar menawar hinggakan orang yang berniaga di situ boleh gulung tikar! Heheheh..

    Pasar Pudu sudah menjadi tempat permainan aku sejak dari umur 7 tahun (Bukan maksudnya aku suka bermain konda kondi, police entry atau kejar mengejar di sini). Tapi lebih kepada maksud yang aku sudah mengenali semua selok belok dan ceruk yang ada di Pasar Pudu. Oleh itu aku tak perlukan GPS untuk mencari arah sesuatu tempat disitu.

    Sejak dari darjah satu, aku sudah mula mengunakan pengangkutan awam memandangkan yang abah tak mampu untuk menempatkan kami yang pada ketika itu empat beradik dengan menaiki bas sekolah. Makanya, jalan terbaik adalah dengan menaiki pengangkutan awam.Pada waktu itu, pengangkutan awam yang paling popular adalah bas Tong Fong. Bas yang tingkapnya susah nak di buka dan susah pula nak di tutup!. Cik Kiah pula, akan bertungkus lumus menyediakan bekal makanan buat kami empat beradik. Dan suka atau tidak, aku kena ke sekolah bersama dengan salah seorang dari tiga abang-abang aku. Tapi selalunya, aku akan di tinggalkan sebaik sahaja sampai di Pasar Pudu.

    Di waktu itu,kejadian culik,rogol dan bunuh amat susah kedengaran di corong telinga. Oleh sebab itulah setakat kena tinggal dek abang-abang aku tak jadi masalah untuk aku berjalan kaki ke sekolah.Ramai kanak-kanak yang seusia aku turut sama berjalan kaki ke sekolah dari perhentian bas Pasar Pudu. Di waktu pagi kelihatan para peniaga sudah mula sibuk dengan barangan masing-masing.  Cuma satu benda yang tetap akan aku kenang sampai bila-bila. Bau semerbak dari sebuah kedai roti yang masih wujud lagi sehingga sekarang.

    Setiap kali, (Maksud aku setiap 10 tahun sekali) bila melewati kedai roti tersebut, serta merta aku akan teringat semua kenangan ketika di bangku sekolah rendah dan sekolah menengah. Kenangan yang menerjah masuk ke minda akan membawa aku ke zaman kegemilangan sebagai minah brutal dan juga sebagai pelajar yang selalu mewakili sekolah dalam acara yang selalunya 'paksa rela'.

    Aku menjadi 'minah brutal' di sebabkan itu sifat semulajadi yang di lampiaskan oleh kelakuan abang-abang yang menjadi ikutan secara tidak langsung.Aku memang seorang budak perempuan yang kasar dari segi kelakuan mahu pun tutur bicara. (Eeerr.. sehinggalah sekarang.. di usia lanjut) hehehe.. . Aku tidak bangga dengan sifat kejantanan ini,namun sifat inilah yang membuatkan aku kenal dunia melalui kacamata seorang lelaki. Argh! rindunya aku dengan zaman brutal yang banyak memberikan kenangan dan pengalaman.

    Berbalik kepada kisah pengangkutan awam, selain daripada bas Tong Fong.. Bas Mini turut menjadi pengangkutan awam yang paling popular di zaman kanak-kanak dan tatkala usia aku menginjak remaja. Bas mini yang aku maksudkan adalah bas mini yang pada ketika itu masih belum di warnakan dengan warna pink seperti yang di wartakan oleh kerajaan pada ketika itu.Apa yang masih jelas dalam ingatan aku adalah kisah satu asoh yang menaiki bas dari Pasar Pudu.

    Kisahnya begini, aku menunggu bas untuk pulang kerumah dari perhentian bas di Majistreet yang terletak atas dari Pasar Pudu. Hari itu hari minggu, aku kesekolah kerana ada meeting untuk semua pustakawan sementelah pula aku merupakan setiausaha perpustakaan sekolah 'paksa rela' nak tak nak terpaksa hadir untuk mengambil minit mesyuarat. Setelah selesai, aku bersama beberapa teman berjalan menuju ke perhentian bas di Majistreet.

    Dalam duk menunggu bas Tong Fong, bas mini pula yang sampai. Eeeemm.. terpaksalah aku naik. Punca aku tak suka naik bas mini di sebabkan pemandunya suka berangan seolah-olah beliau adalah pemandu Formula 1! Kebetulan pula dari arah Majistreet banyak tempat kosong,aku memilih bahagian tengah bas bersebelahan tingkap. Seperti biasa,pemanduan berhemah memang tak wujud dalam kamus pemandu bas mini. Bas mini berhenti di perhentian bas Pasar Pudu,manusia berpusu-pusu memasuki perut bas yang semakin lama semakin penuh dengan makcik-makcik yang menjinjing barangan pasar. Ada yang sibuk memilh tempat duduk dan ada memilih untuk berdiri walaupun masih ada tempat duduk yang kosong.

    Tiba-tiba datanglah seorang asoh dalam lingkungan 40an mendapatkan tempat duduk kosong di bahagian pintu masuk dan duduk di sebelah penumpang yang duduk di tepi tingkap. Dari mula lagi aku memerhati, tidak ada penumpang yang mahu duduk di bahagian itu melainkan asoh tersebut. Kenapa? Aku pun tak pasti.Seperti kebiasaan, pemandu bas mini memandu dengan laju seperti di kejar hantu. Aku sampai terpaksa memegang tingkap setiap kali bas tersebut break mendadak.

    Sebaik sahaja melepasi perhentian bas Jalan Peel,bas mini meneruskan perjalanan sehingga melepasi Jaya Jusco Maluri. Ketika memusing melepasi traffic light untuk ke Cheras Flat,stering di putar keras hingga terasa seolah-olah bas ingin terbalik di buatnya. Ada penumpang yang terjatuh ke lantai, ada juga yang jatuh terduduk daripada berdiri. Ramai penumpang memaki pemandu bas yang buat muka selamba seperti tidak bersalah.

    Aku perhatikan keliling, dan tercari-cari mana perginya asoh yang duduk di bahagian pintu masuk bas tadi. Bagai bunyi petir,aku tedengar suara seorang wanita memaki dengan nada suara yang tinggi dalam dialek kantonis dan bahasa melayu yang berterabur. Rupa-rupanya asoh terperosok di bahagian depan bas berdekatan dengan gear bas.Hanya punggung besar asoh itu aje yang aku nampak. Mukanya betul-betul di ruang kecil di bahagian hadapan bas tersebut. Habis bertaburan sayur dan buah-buahan asoh itu. Kesian..

   Dalam rasa kasihan dan simpati, aku ketawa. Mana taknya,dah sampai tertonggeng mana tak kelakar. Bukan aku seorang je yang ketawa,habis satu bas bantai gelak dalam simpati yang sarat. Nasib baik ada yang tolong mengutip barang-barang asoh tersebut. Sepanjang perjalanan, asoh tidak habis-habis mengomel sendirian sambil tangannya menunjuk ke arah pemandu bas yang hanya tersengeh. Mungkin dia tersenggeh sebab teringatkan punggung asoh! Hahahahah...

    Aduhai, mengenangkan beberapa peristiwa di zaman sekolah rendah dan menengah memang tak habis gelak. Rasanya tak ada kenangan yang tidak mengusik jiwa. Alangkah seronoknya jika kita dapat mengimbas semula zaman kanak-kanak dan zaman remaja yang penuh dengan pelbagai cerita suka duka. Namun setiap kenangan itu haruslah di lipat dan di simpan sekemas mungkin buat penceritaan untuk anak-anak yang masih belum mengenal hakikat dunia yang sebenar.

No comments:

Post a Comment